PUTRAJAYA, 7 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pembangunan Peralatan Suruhanjaya Ketenteraan Pusat Republik Rakyat China, Jeneral Xu Xueqiang, pagi tadi.
Datuk Seri Anwar dalam Facebook menyatakan pertemuan tersebut menyentuh perkembangan hubungan dua hala Malaysia dan China yang terus mengukuh, khususnya dalam bidang keselamatan dan pertahanan.
"Malaysia menghargai kerjasama erat dengan China dalam aspek keselamatan termasuk latihan bersama, selain menekankan kepentingan kolaborasi dalam teknologi strategik.
Saya turut merakamkan penghargaan terhadap peranan konstruktif yang dimainkan China dalam isu-isu serantau, termasuk usaha gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand serta sokongan berterusan dalam menangani krisis di Myanmar," kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menzahirkan rasa hormat kepada kepimpinan tertinggi China dan menyatakan kesediaan untuk bertemu Presiden Xi Jinping dan Premier Li Qiang pada awal bulan hadapan.