KUALA LUMPUR, 7 Ogos -Qari dan Qariah Malaysia akan memperdengarkan kemerduan bacaan Al-Quran dalam kategori tilawah sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali ke-65 yang berlangsung malam ini dan esok.
Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, 27 tahun berasal dari Taiping, Perak akan tampil memperdengarkan bacaannya malam ini.
Beliau merupakan Johan Qari Majlis Tilawah Peringkat Kebangsaan 2025 dan finalis pertandingan yang sama di luar negara seperti Kuwait, Iran dan meraih tempat ketiga di Indonesia selain bertugas sebagai tutor di Darul Quran JAKIM.
Sementara itu, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi, 31 tahun seorang Guru Mengaji berasal dari Terengganu akan memperdengar bacaannya esok bersama lima peserta lain dari negara Afghanistan, Kanada, Cambodia, Indonesia dan Kazakhtan.
Memasuki hari ke-6 penganjuran, seramai 27 peserta kategori tilawah telahpun memperdengar bacaan masing-masing di hadapan hakim dan penonton.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan majlis sebagai tanda sokongan kepada wakil negara dan dalam usaha mengimarahkan syiar Islam melalui seni bacaan Al-Quran.