fb fb fb fb fb

Kapal tangki terbakar: Seorang kru Indonesia maut

Sebuah kapal tangki terbakar di perairan Johor Timur petang semalam

KOTA TINGGI, 7 Ogos – Seorang kru kapal warga Indonesia maut dalam kebakaran kapal tangki di perairan Johor Timur, petang semalam.

Mangsa yang berusia 42 tahun ditemui meninggal dunia oleh sebuah bot berhampiran lokasi kejadian, kira-kira 36 batu nautika dari Tanjung Sedili Kechil, di sini.

Menurut Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil, bot berkenaan turut menyelamatkan empat mangsa lain.

"Mereka terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan tiga warga Indonesia, berusia antara 31 hingga 49 tahun," katanya.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Jumlah sebenar kru kapal dengan pendaftaran MT 108 itu masih dalam siasatan.

Setakat ini, Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) telah digerakkan meliputi kawasan seluas 8 batu nautika persegi di sekitar perairan tersebut.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN