fb fb fb fb fb

KPWKM sedia bentang cadangan tubuh Jawatankuasa Kabinet Melindungi Golongan Rentan

(Datuk seri Rina Harun mengadakan Lawatan ke Rumah Kanak-kanak Mini di Ulu Tiram)

JOHOR BAHRU, 11 Jun- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ( KPWKM) bersedia untuk membentangkan cadangan dan gerak kerja bagi penubuhan Jawatankuasa Kabinet Melindungi Golongan Rentan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri ( MJM) dalam waktu terdekat.

Perbincangan awal dan sesi libat urus mengenai jawatankuasa tersebut juga telah selesai diadakan di peringkat kementerian dan agensi-agensi berkaitan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata penubuhan jawatankuasa tersebut akan meneliti secara menyeluruh isu berkaitan pusat jagaan termasuk pusat jagaan kanak-kanak, anak yatim, orang kurang upaya, warga emas serta pusat tahfiz.

Beliau berharap agar ia dapat dilaksanakan dengan kadar segera.


(Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun)

"Sebab itu bila jawatankuasa ini ditubuhkan, Ia juga akan turut disertai dianggotai oleh beberapa agensi dan juga kementerian, sebab kita tahu bila pusat jagaan ini, ia bukan sahaja mendapat kelulusan daripada JKM di bawah kementerian tidak dia melibatkan bomba, melibatkan kesihatan dia melibatkan daripada PBT, kadang-kadang daripada sesi libat urus tersebut, kita dapati antara satu PBT dengan satu PBT, kadang-kadang dia punya yuran tidak sama,syarat agak berbeza, jadi kita harap supaya diadakan penyelarasan atas nama pusat jagaan", katanya.

Menerusi operasi pemutihan dijalankan KPWKM bermula 1 Februari sehingga 31 Mac lalu, 1,910 pusat jagaan berdaftar manakala 1,028 pusat jagaan tidak berdaftar dikesan dan diberi notis peringatan.

“Daripada jumlah 1,028, sebanyak 38 daripadanya telah diperakui pendaftaran, 57 berhenti operasi, 8 disita, 35 kompaun dan satu didakwa,” katanya

Beliau berkata demikian selepas Lawatan ke Rumah Kanak-kanak Mini Ulu Tiram, Johor Bahru bagi meninjau operasi dan keadaan para penghuni serta kakitangan di pusat jagaan tersebut.

Media Baharu