NIBONG TEBAL, 6 Ogos - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersedia bekerjasama dengan Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) untuk merombak pegawai bermasalah atau terlibat dalam salah laku sekiranya diperlukan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata langkah itu wajar memandangkan pengurusan di 22 pintu masuk utama negara kini diurus sepenuhnya oleh AKPS.
Bagaimanapun, katanya, pegawai JIM masih mengendalikan operasi harian di pintu masuk berkenaan, khususnya di lapangan terbang.
Beliau menjelaskan, kejayaan operasi membanteras kegiatan counter setting membuktikan keberkesanan kerjasama antara kedua-dua agensi.
Menurutnya, usaha mengurangkan interaksi secara langsung antara pelancong dan pegawai bertugas diyakini dapat mengurangkan risiko ketirisan, termasuk isu counter setting dan amalan tidak berintegriti.