fb fb fb fb fb

Senator Zurainah dilantik Pengerusi FINAS, Mohamad Salim dilantik Pengerusi Interim MCMC

(Tan Sri Annuar menyerahkan surat lantikan kepada
Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din)

KUALA LUMPUR, 10 Jun- Senator Datuk Seri Zurainah Musa dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa hari ini sehingga 9 Jun 2024. 

Beliau menggantikan Zakaria Abdul Hamid yang tamat perkhidmatannya pada 22 Mei lepas.

Perkara itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menerusi kenyataan.


(Tan Sri Annuar Musa menyerahkan surat lantikan kepada
Senator Datuk Seri Zurainah Musa)

"Saya yakin pengalaman luas Datuk Zurainah dalam pelbagai bidang boleh membawa nafas dan iltizam baharu bagi membantu perkembangan industri perfileman dan kreatif negara", katanya.

Selain Ahli Dewan Negara, Datuk Zurainah juga merupakan ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Ahli Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga, Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad dan mengetuai Jabatan Hubungan Strategik Berjaya Corporation.

Dalam pada itu, Tan Sri Annuar juga mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din sebagai Pengerusi Interim Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Beliau menggantikan Datuk Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek yang mengakhiri perkhidmatannya, semalam.

Pelantikan berkuat kuasa hari ini sehingga lantikan pengerusi baharu itu, selaras Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Bahagian II, Seksyen 14).

Beliau yakin pelantikan tersebut akan membawa kesegaran dan suntikan baharu bagi membantu perkembangan industri telekomunikasi di negara ini.

"Tan Sri Mohamad Salim merupakan Naib Pengerusi Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan sekarang turut berkhidmat sebagai Anggota Suruhanjaya kepada MCMC", katanya.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Gapurna Sdn Bhd itu juga pernah menjawat pelbagai jawatan penting dalam pelbagai industri, termasuk sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Giant Malaysia dan Pengerusi Bukan Eksekutif British American Tobacco (Malaysia) Berhad.

Media Baharu