fb fb fb fb fb

Pelaksanaan inisiatif pemaparan harga ubat diteruskan secara berperingkat

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 3 Ogos – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini memaklumkan pelaksanaan inisiatif pemaparan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti akan diteruskan secara berperingkat selepas tamatnya tempoh penguatkuasaan pendidikan selama tiga bulan yang berakhir pada 31 Julai 2025.

Inisiatif ini mula dilaksanakan pada 1 Mei 2025 melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 [P.U.(A) 141/2025], di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723], hasil kerjasama strategik antara KKM dan KPDN.

Sepanjang tempoh pelaksanaan awal, sebanyak 842 fasiliti kesihatan swasta yang terdiri daripada klinik perubatan, klinik pergigian, hospital swasta dan farmasi komuniti telah diperiksa.

Daripada jumlah tersebut, majoriti telah melaksanakan inisiatif ini dengan sebanyak 57 peratus, menunjukkan tahap pematuhan terhadap keperluan pemaparan harga ubat yang memuaskan.

"Bermula 1 Ogos 2025, penguatkuasaan akan diteruskan secara berperingkat. Dalam tempoh dua bulan pertama, sehingga 30 September 2025, penguatkuasaan pendidikan masih diteruskan melalui lawatan pemeriksaan dan advokasi. Sekiranya berlaku ketidakpatuhan, surat peringatan boleh dikeluarkan kepada fasiliti yang terlibat.

"Mulai 1 Oktober 2025, tindakan penguatkuasaan akan diperluaskan dengan pemberian kompaun terhadap kesalahan yang berulang.Penguatkuasaan penuh pula akan bermula pada 1 Januari 2026," menurut kenyataan tersebut, hari ini.

Sementara itu, KKM dan KPDN turut mengambil maklum mengenai laporan tindakan semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi oleh tujuh pertubuhan yang mewakili pengamal perubatan dan pergigian, serta seorang pengamal perubatan swasta, yang mencabar keabsahan Perintah P.U.(A) 141/2025.

Walau bagaimanapun, sehingga kenyataan tersebut dikeluarkan, tiada sebarang perintah mahkamah yang mengarahkan penangguhan terhadap pelaksanaan atau penguatkuasaan perintah berkenaan dan sehubungan itu, Perintah P.U.(A) 141/2025 kekal sah dan masih berkuat kuasa.

KKM dan KPDN menegaskan komitmennya untuk melaksanakan inisiatif tersebut secara inklusif, berfasa dan berhemah.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN