fb fb fb fb fb

Kempen Internet Selamat galakkan penggunaan internet secara berhemah

Menteri Digital, Gobind Singh Deo ditemui pemberita selepas merasmikan program Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Selangor Tahun 2025, di Petaling Jaya, Selangor/ Foto RTM

PETALING JAYA, 3 Ogos - Kesedaran dan pemahaman masyarakat terhadap keselamatan siber dalam era digitalisasi mampu dipertingkatkan melalui pelaksanaan kempen Internet Selamat.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata kempen itu mampu menggalakkan lebih banyak penggunaan internet secara berhemah sekali gus mengurangkan risiko termasuk penipuan dalam talian.

"Sebenarnya scam penipuan dan sebagainya, ancaman itu kepada semua, jadi kita lihat kepada kempen keselamatan, ianya perlu dilihat dari semua sudut, bagaimana ia boleh pastikan dapat membawa kesedaran ini kepada semua pihak, saya telah pun menyatakan bahawa untuk kita memastikan bahawa mereka di peringkat sekolah dan sebagainya dapat memahami aspek scam dan penipuan ini, risikonya.

"Kita perlu sedar akan risiko ini dan kita perlu berani untuk menghadapi realiti bahawa sebenarnya kita perlu menggunakan teknlogi baharu dan dalam masa sama kita perlu pastikan kita tidak terjerat dalam masalah-masalah berkaitan dengan risiko yang saya sebut tadi," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan program Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Selangor Tahun 2025, di sini hari ini.

Menurut Gobind, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi membanteras kegiatan jenayah di dalam talian termasuk memperkenalkan undang-undang baharu serta menambah baik perundangan sedia ada.

Dalam masa sama, syarikat-syarikat telekomunikasi juga turut giat bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi memperkukuh usaha membanteras jenayah siber secara menyeluruh.

Pada majlis berkenaan, seramai 50 orang dari golongan B40 turut menerima sumbangan komputer riba.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN