ALOR GAJAH, 3 Ogos - Persiapan bagi memastikan kelancaran perasmian Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 dan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 di Melaka hanya tinggal antara 10 hingga 15 peratus.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pengesahan kehadiran yang diterima daripada delegasi negara anggota Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNWTO), juga menggalakan.
Menurut beliau, selaku tuan rumah WTD pada tahun ini, Melaka akan menganjurkan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 di sebuah hotel di Bandaraya Melaka, manakala pelancaran TMM2026 dijadual berlangsung di Encore, Klebang pada September depan.
"Kita jemput semua rakyat Malaysia, bukan sahaja rakyat Melaka, tetapi seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menghadiri, serta menikmati keindahan persembahan kebudayaan dan kesenian.
"Kesemua 14 negeri dalam Malaysia akan dihimpunkan dalam malam majlis perasmian Tahun Melawat Malaysia 2026 dan juga majlis makan malam Hari Pelancongan Sedunia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Rembia di sini.