fb fb fb fb fb

MTHQA ke-65: Dua peserta negara perdengar bacaan hari pertama kategori hafazan

Salah seorang peserta negara, Muhammad Adib Ahmad Rozaini memperdengarkan bacaan pada hari pertama kategori hafazan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos - Dua peserta negara memperdengarkan bacaan masing-masing pada hari pertama kategori hafazan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pagi tadi.

Peserta negara diwakili oleh Putri Auni Khadijah dan Muhammad Adib Ahmad Rozaini.

Enam peserta lain ialah dari negara Ivory Coast, Ghana, Sudan, Libya, Mali dan Qatar.

Hampir 1,000 penonton telah hadir mengimarahkan sesi bacaan itu yang terdiri daripada para pelajar tahfiz, para asatizah dan orang awam yang mula mengunjungi Dewan Merdeka seawal pukul 8 pagi.

Penyertaan kategori hafazan tahun ini menghimpunkan 20 peserta lelaki dan 12 wanita.

MTHQA ke-65 berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos tampil dengan tema ‘Membangun Ummah MADANI’ serta menghimpunkan 71 peserta dari 49 negara.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN