fb fb fb fb fb

RMK13 suntik semangat baharu sektor pertanian

Gambar arkib BERNAMA

KANGAR, 3 Ogos – Pemerkasaan sektor pertanian dan agromakanan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi harapan baharu buat para petani, pesawah dan usahawan tani.

Khususnya dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada sumber import serta memperkukuh sekuriti makanan negara.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan berkata, negeri itu diberi perhatian khusus menerusi projek tanaman jagung bijian untuk ternakan yang menunjukkan potensi besar.

“Sehingga Disember 2024, Perlis mencatatkan kawasan tanaman jagung bijian seluas 441 hektar. Usaha ini dapat mengurangkan import dan meningkatkan bekalan domestik secara berperingkat,” katanya ketika ditemui RTM.

Sementara itu, Ketua Kelompok Tanaman Padi Kampung Ujung Bukit, Zulkifli Azelan menyambut baik pengumuman kerajaan yang disifatkan mampu meningkatkan pendapatan pesawah serta menampung keperluan beras tempatan.

“Langkah ini sangat wajar kerana kita kini terlalu bergantung kepada beras import. Pelaksanaannya akan memberi impak positif kepada pesawah di seluruh negara,” katanya.

Seorang usahawan tani, Yuzaimi Yaakob pula berkata, kebergantungan kepada produk luar sebelum ini menyukarkan perniagaan dari segi harga dan bekalan.

“Dengan adanya produk tempatan yang lebih mudah diperoleh dan pada harga yang berpatutan, ia banyak membantu kami sebagai usahawan,” katanya.

RMK13 dilihat sebagai rangka kerja penting dalam membina daya tahan sistem makanan negara serta memperkukuh ekonomi luar bandar melalui penyediaan infrastruktur dan insentif pertanian yang lebih menyeluruh.

RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lalu merangkumi program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun untuk dipercepatkan dan diperluaskan.

Selain itu, kerajaan turut mengutamakan pemindahan teknologi, adaptasi pertanian pintar dan mempergiatkan ladang satelit selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030.

GRACE AISYAH KEDAYAN