KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Ratusan rakyat Malaysia menyertai perhimpunan aman 'March for Gaza' di ibu negara, semalam, bagi membantah krisis kemanusiaan dan kebuluran yang sedang melanda rakyat Palestin di Gaza.
Peserta perarakan membawa sepanduk, plakad dan periuk sebagai simbol kebuluran.
Mereka turut membuat demonstrasi lakonan dramatik simbolik kematian orang awam dan penahanan oleh zionis Israel.
“Saya turun hari ini sebagai usaha kecil untuk tekan masyarakat antarabangsa. Tolong hentikan kebuluran di Gaza, khususnya terhadap kanak-kanak,” kata salah seorang peserta, Amri.
“Kami harap inisiatif kecil ini menjadi peringatan kepada semua umat manusia, bukan hanya umat Islam, tentang pentingnya nilai kasih sayang dan keadilan,” ujar seorang lagi peserta, Asyraf Maskan.
Perhimpunan itu dianjurkan oleh beberapa gabungan solidariti Palestin dan keamanan sebahagian gerakan global.
Protes berlangsung ketika keadaan kemanusiaan di Gaza terus menerima kecaman antarabangsa, meskipun Israel menafikan wujudnya kebuluran di wilayah tersebut.
Israel melancarkan serangan udara dan darat sehingga kini yang mengorbankan 60,138 rakyat Palestin dan mencederakan 146,269 yang lain. - VIORY