KANGAR, 3 Ogos - Sebanyak 41 Jualan Agro MADANI dilaksanakan di pasar tani seluruh Perlis, sejak Januari lalu.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan berkata, sejak penganjuran program itu awal tahun ini, lebih RM652,000 nilai jualan dicatatkan dengan penjimatan melebihi RM287,000.
Bagi membolehkan program itu dilaksanakan di masjid-masjid terpilih, pihaknya sedang merangka strategi baharu menerusi kerjasama dengan agensi, seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Buat permulaan, ia dilaksanakan di Masjid Al-Istiqamah di Kampung Teluk Jambu, Bintong sejak 22 Jun lalu, melibatkan 30 usahawan asas tani dengan nilai jualan mencecah RM90,000.
"Kerjasama dengan pihak JAIPs atau jabatan agama islam ataupun pihak kariah masjid ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Ini memandangkan pihak masjid atau pihak jabatan islam ini sudah mempunyai golongan sasaran, terdiri daripada kariah-kariah tertentu," katanya.
Beliau ditemui media semasa melakukan tinjauan mesra bersempena program Jualan Agro MADANI @ Pasar Tani Masjid Al-Istiqamah di Kampung Teluk Jambu, Bintong.
Turut diadakan Jualan Kombo MADANI yang menawarkan set kombo pada harga RM6 berbanding harga asal RM15.
Secara keseluruhan, sebanyak RM1.58 juta nilai jualan direkodkan di kesemua empat pasar tani di Perlis, iaitu Pasar Tani Kekal Simpang Empat, Pasar Tani Pauh, Pasar Tani Dataran ABC MAIPs dan Pasar Tani Masjid Al-Istiqamah yang melibatkan 100 usahawan asas tani.
Program Jualan Agro MADANI memudahkan pengguna mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan, seterusnya membantu mengurangkan beban kos sara hidup.