KUALA LUMPUR, 3 OGOS - Peluasan pasaran, kerjasama serantau dan pemerkasaan ekonomi domestik perlu digerakkan secara bersepadu, susulan keputusan Amerika Syarikat untuk mengurangkan tarif ke atas produk Malaysia daripada 25% kepada 19%.
Menurut Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, pendekatan menyeluruh itu penting bagi memastikan imbangan perdagangan Malaysia kekal positif dan eksport terus meningkat dalam jangka masa panjang.
“Realitinya, banyak negara di luar ASEAN menikmati kadar tarif yang jauh lebih rendah. Contohnya, Korea Selatan, New Zealand dan Kesatuan Eropah hanya dikenakan tarif sekitar 15%.
Oleh itu, bagi memastikan imbangan perdagangan Malaysia kekal positif dan eksport terus meningkat, strategi yang lebih sesuai adalah dengan meneroka pasaran baharu di pelbagai rantau menerusi perjanjian perdagangan unilateral dan terus memperkukuh perdagangan intra-ASEAN," katanya, ketika dihubungi RTM.
Tambah beliau, keutamaan juga perlu diberi kepada usaha memperkasakan ekonomi domestik, bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap daya tahan dan prospek jangka panjang ekonomi negara.
“Langkah ini bukan sahaja berpotensi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI), malah mampu menyokong pengukuhan nilai Ringgit Malaysia,” ujarnya.
Beliau turut berpandangan kadar tarif baharu 19% yang dikenakan ke atas produk Malaysia kini setara dengan empat negara ASEAN lain termasuk Kemboja, Filipina, Thailand dan Indonesia yang turut menerima kadar sama.
Situasi itu, katanya, memberi kelebihan kompetitif kepada Malaysia dalam membekalkan barangan ke pasaran Amerika Syarikat, berbanding beberapa negara jiran lain yang masih dikenakan tarif lebih tinggi seperti Vietnam dan Brunei (25%), Laos (4%) dan Myanmar (40%).
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menetapkan kadar tarif ke atas Malaysia pada kadar 19%.