KUALA LUMPUR, 3 Ogos - Pemain industri solar menyambut baik tumpuan kerajaan terhadap peralihan tenaga dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Khususnya, menerusi pelaksanaan Program CREAM dan BESS di bawah Rangka Kerja Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Program CREAM (Community Renewable Energy Aggregation Mechanism) dilihat memberi peluang kepada rakyat untuk menyewakan bumbung rumah bagi pemasangan panel solar, yang kemudiannya disewa pelabur dan dijual terus kepada pembeli tanpa perlu melalui TNB.
“Ini satu langkah positif yang memanfaatkan rakyat dan merakyatkan hasil peralihan tenaga,” kata Penggiat industri solar, Datuk Ir. Guntor Tobeng.
"Program ini akan membolehkan kami, pelabur solar, menyewa bumbung rumah orang awam untuk dipasang panel solar. Sewa akan dibayar kepada pemilik rumah, manakala tenaga yang dijana boleh dijual terus kepada pembeli tanpa perlu melalui TNB seperti sebelum ini. Ini satu perkembangan yang sangat positif,” katanya.
Lebih menarik, katanya, pemilik rumah yang menyewakan bumbung mereka juga boleh menebus sistem solar tersebut, seterusnya menjadi sebahagian daripada komuniti LEGA (Local Energy Generation Agriculture), sekali gus menjadikan rakyat sebagai pemilik tenaga yang mereka hasilkan.
Beliau turut mengalu-alukan pelaksanaan Battery Energy Storage System ( BESS) yang membolehkan industri mengurangkan kos elektrik dengan lebih cekap, terutama dalam pengurusan kapasiti dan grid.
“Menerusi penggunaan bateri besar, pulangan pelaburan jadi lebih pantas, ini memacu pertumbuhan industri.” tambahnya.
Dengan kehadiran BESS, katanya, industri tidak lagi terikat dengan isu beban puncak seperti dahulu, sekali gus mempercepatkan pulangan pelaburan dan memperkukuh kecekapan tenaga.
Pembangunan sektor tenaga boleh baharu dijangka menyumbang secara signifikan dalam pencapaian sasaran RMK13, selain memperkukuh ekosistem tenaga bersih dan lestari negara.