KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Skim Pembiayaan Perkasa TVET MADANI dan Dana Latihan TVET membuka lebih banyak peluang kepada rakyat kurang berkemampuan untuk menyertai latihan kemahiran tanpa beban kewangan.
Inisiatif yang bakal diperkenalkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu bukan sahaja memanfaatkan golongan B40, malah M40 termasuk mereka yang berada di luar bandar.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Mohammad Rizan Hassan berkata, usaha itu sekali gus meningkatkan penyertaan belia dalam program TVET secara menyeluruh.
“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan penyertaan, malah dapat melahirkan graduan TVET bersedia bekerja dalam sektor strategik negara. Harapan saya, pengurusan dananya perlu diselaraskan sebaiknya.
Bila hala tuju disatukan, barulah benar-benar dapat bantu belia dan negara,” katanya.
Beliau turut menyambut baik peluasan program TVET kepada pelajar tahfiz yang disifatkan sebagai langkah strategik membekalkan golongan tersebut dengan kemahiran selari keperluan industri.
“Ini akan lahirkan generasi yang menyeluruh, kuat spiritual, tinggi integriti, dan memiliki pilihan kerjaya lebih luas, termasuk dalam bidang pertanian moden serta teknologi hijau,” jelasnya.
Tambah beliau, penawaran semula program TVET yang memfokuskan bidang pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) juga penting bagi melonjakkan ekonomi negara.
“Bila kita lahirkan tenaga kerja sektor bernilai tinggi, pelabur akan datang, gaji meningkat dan daya saing negara turut bertambah baik.”
Justeru katanya, strategi TVET yang lebih tersusun dan berpaksikan industri seperti digariskan dalam RMK13 mencerminkan komitmen kerajaan memartabatkan TVET sebagai arus perdana pendidikan negara.
Langkah itu juga diyakini dapat memacu ekonomi dan meningkatkan mobiliti sosial rakyat secara menyeluruh.