KAJANG, 3 Ogos - Impian komposer dan pemuzik terkenal, Allahyarham Ross Ariffin atau nama sebenarnya Roslan Ariffin Jamil, untuk kembali menyumbang dalam dunia seni tanah air tidak kesampaian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau bercadang melibatkan Allahyarham dalam beberapa projek termasuk penciptaan lagu sempena sambutan Hari Kebangsaan.
“Hasrat awal saya cuba libatkan beliau untuk bantu hasilkan beberapa lagu sempena Hari Kebangsaan tapi tahap kesihatan beliau tak mengizinkan,” katanya.
Menurutnya, kali pertama membawa Allahyarham ke studio RTM bersama Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi dan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail, Allahyarham sempat memperdengarkan beberapa rangkap lagu yang mula digubah.
“Masa tu beliau dah mula mainkan beberapa rangkap. Mungkin kita boleh cari semula atau lengkapkan lagu yang telah beliau mulakan,” katanya.
Datuk Fahmi berkata demikian kepada media selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Unit Forensik, Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang.
Tambah beliau, Allahyarham disifatkan sebagai insan berbakat besar yang mampu mencipta karya muzik secara spontan dan penuh keunikan.
“Cara dia cipta muzik sangat unik tak tulis nota, dia terus main. Itu yang magis," katanya.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Surau Muhibbah, Taman Muhibbah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang selepas solat Zohor.