KOTA BHARU, 3 Ogos - Insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Port Dickson, Jumaat lalu sepatutnya tidak berlaku, tegas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Jelas beliau, pihaknya akan mengambil tindakan tegas setelah memperoleh laporan penuh siasatan berhubung kes tersebut.
“Kita sudah beri peringatan berulang kali berkenaan bendera ini mengenai sensitiviti, tanggungjawab dan komitmennya.
Dalam semangat menuju Hari Kebangsaan, perkara itu sepatutnya tidak berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan kepada murid Tingkatan Enam Semester Satu Tahun 2025 di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa.
Katanya, KPM mengambil pendirian cukup tegas terhadap insiden tersebut dan akan memastikan tindakan yang wajar dikenakan kepada pihak bertanggungjawab.
Terdahulu, pihak sekolah bersama Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pentadbiran memohon maaf secara terbuka dan menyifatkan insiden itu sebagai kecuaian tidak disengajakan.
Menurut kenyataan mereka, kejadian berlaku pada petang 1 Ogos apabila seorang pekerja sekolah memasang bendera sebelum tamat waktu bekerja dan tidak menyedari satu daripadanya dipasang secara terbalik.