fb fb fb fb fb

Malaysia kaji potensi tenaga nuklear sebagai sumber masa depan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bercakap kepada pemberita selepas merasmikan MUSCS Pickleball Arena di Petra Jaya / Foto BERNAMA

KUCHING, 3 Ogos - Malaysia sedang mengkaji secara mendalam potensi tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga masa depan yang bersih, selamat dan mampan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kajian itu dilaksanakan oleh agensi MyPower termasuk menerusi lawatan kerja ke beberapa negara maju bagi menilai teknologi terbaik dan sesuai untuk digunakan di Malaysia.

“Sebab itu saya pergi ke Rusia, ke Perancis, insya-Allah selepas ini ke Korea, Jepun, China dan juga Amerika Syarikat.

Kita mahu melihat teknologi yang paling sesuai, paling selamat dan paling kos efektif untuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di sini.

Jelas beliau lagi, Malaysia turut meneliti teknologi reaktor bersaiz kecil dan sederhana yang semakin berkembang penggunaannya di negara-negara seperti Jepun, Korea dan Perancis.

Bagaimanapun, pelaksanaan loji tenaga nuklear di negara ini hanya akan diputuskan selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk kos, kesan, serta penerimaan awam.

"Setakat ini, keputusan akhir masih belum dibuat, namun jangkaan paling awal pelaksanaannya adalah dalam tempoh 10 tahun, tertakluk kepada hasil kajian kebolehlaksanaan serta pematuhan kepada 18 perjanjian antarabangsa berkaitan nuklear," menurut beliau.

Datuk Seri Fadillah turut menjelaskan, pemilihan lokasi pembinaan loji nuklear juga memerlukan pertimbangan teliti, antaranya perlu berhampiran sumber air seperti sungai, laut atau tasik besar untuk keperluan sistem penyejukan.

Kajian penuh sedang dijalankan oleh MyPower sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN