LABUAN, 30 September- Usaha kerajaan menyalurkan subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mendapat sambutan positif dalam kalangan penduduk di Labuan.
Tinjauan RTM di beberapa stesen minyak mendapati pengguna menzahirkan rasa syukur kerana inisiatif berkenaan membantu meringankan beban kos sara hidup isi rumah, selain sistem pelaksanaannya mudah digunakan.
Seorang penduduk, Mohd Zuhairi Azizan menyifatkan mekanisme penggunaan kad pengenalan di pam minyak sebagai lebih sistematik dan memudahkan rakyat tempatan.
"Sebagai rakyat, saya bersyukur diberi subsidi minyak ini. Proses guna kad pengenalan pun sistematik dan lebih memudahkan," katanya.
Bagi Doneyta Syafiqa Salim, penjimatan yang diperoleh menerusi BUDI95 membantu mengurangkan perbelanjaan harian.
"Harganya lebih murah dan dapat menjimatkan perbelanjaan harian seperti hantar anak ke sekolah. Proses tebus BUDI95 pun semudah ABC — hanya dihujung jari," ujarnya.
Seorang lagi warga Labuan, Masnun Norman berkata, pelaksanaan sistem itu berjalan lancar selagi pengguna melengkapkan dokumen seperti kad pengenalan dan lesen.
"Terima kasih… sekurang-kurangnya dapat jimat perbelanjaan. Prosesnya pun lancar, asalkan lengkap dengan kad pengenalan dan lesen," katanya.