fb fb fb fb fb

Semua plaza tol di lebuh raya PLUS dilengkapi sistem RFID

KUALA LUMPUR - 16 Januari - Hari pertama pembukaan lorong transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) semalam berjalan lancar.

Kesemua 83 plaza tol di lebuh raya PLUS kini dilengkapi sistem RFID, merangkumi 164 lorong.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata kemudahan sistem tambah nilai secara dalam talian bagi pengguna RFID, berupaya mengurangkan kesesakan di tol-tol utama di lebuh raya.

"Yang lebih bagusnya adalah cara kita untuk menambah nilai. Tidak lagi menjadi kegusaran yang menjadi halangan apabila berlaku baki tidak mencukupi di mana kalau dulu ini menjadi masalah kesesakan lorong di Touch 'n Go dan Smart Tag.

"Selepas ini tambah nilai boleh dilakukan di hujung jari dan secara dalam talian, tidak ada lagi berlaku kesesakan. Kecekapan lorong RFID adalah lebih baik daripada lorong sedia ada sekarang," kata Yusuf ketika ditemui semasa membuat tinjauan di Plaza Tol Jalan Duta, di sini.

Beliau berkata, pihak PLUS turut menyediakan perkhidmatan pemasangan tag di plaza tol terpilih di sepanjang rangkaian PLUS dan pengguna boleh menyemak lokasi pemasangan terdekat melalui laman sesawang PLUS.

Setakat ini, bilangan pengguna RFID e-wallet yang aktif telah mencapai 1.5 juta, dan pihak PLUS berhasrat untuk meluaskan lagi jajaran penggunaan RFID sekali gus memudahkan perjalanan rentas negeri dari utara ke selatan.

 

Media Baharu