fb fb fb fb fb

Semua perkhidmatan tren beroperasi seperti biasa 26 Julai ini - KTMB

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 25 Julai- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyambut baik kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk tren dan stesen KTMB akan beroperasi seperti biasa pada 26 Julai ini.

KTMB dalam kenyataan hari ini memberi jaminan bahawa semua perkhidmatan tren KTM Komuter dan ETS akan beroperasi mengikut jadual asal seperti biasa.

"Bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih teratur, KTMB menasihatkan pengguna agar merancang perjalanan lebih awal dengan menyemak jadual terkini di laman sesawang rasmi KTMB.

Selain itu, semua pengguna perlu mematuhi arahan kakitangan serta pengumuman di stesen bagi memastikan pergerakan lancar dan keselamatan bersama," kata kenyataan itu.

Para pengguna turut disaran mengguna pakai platform KTM Mobile (KITS) bagi memudahkan transaksi pembelian tiket serta semakan jadual semasa di MyRailtime.

"KTMB juga menggalakkan pengguna untuk membuat pembayaran tiket secara tanpa tunai (cashless) melalui kad debit/kredit, e-dompet dan Touch ’n Go untuk perjalanan yang pantas dan selesa," jelas kenyataan itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM