KUALA LUMPUR, 25 Julai - Malaysia mengecam keras keputusan Israel meluluskan usul mengambil alih Tebing Barat sebagai sebahagian daripada wilayahnya oleh Parlimen rejim itu, 23 Julai lalu.
Wisma Putra dalam satu kenyataan menegaskan, tindakan berkenaan disifatkan sebagai satu pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa.
Malah, langkah tersebut juga melanggar Konvensyen Geneva Keempat serta mencabuli beberapa resolusi utama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Resolusi 242 (1967), 338 (1973) dan 2334 (2016).
“Tindakan pengilhakan (mengambil alih wilayah atau kawasan tertentu) ini bukan sahaja bersifat provokatif, malah secara terang-terangan menafikan hak asasi rakyat Palestin.
"Ia termasuk hak menentukan nasib sendiri, hak untuk pulang serta hak menentang pendudukan yang dijamin di bawah Piagam PBB,” kata kenyataan itu.
Malaysia turut melahirkan kebimbangan terhadap kekebalan berterusan Israel daripada sebarang hukuman atas jenayah terhadap rakyat Palestin, sekali gus mencerminkan kegagalan masyarakat antarabangsa dalam menegakkan keadilan dan undang-undang.
Sehubungan itu, Malaysia menggesa komuniti antarabangsa serta PBB agar menolak usul tersebut dan segera mengambil langkah konkrit menghentikan pencabulan sistematik yang dilakukan oleh Israel.
“Jika terus dibiarkan, masyarakat antarabangsa juga akan turut dipertanggungjawabkan terhadap jenayah perang yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel,” tegas kenyataan itu.
Malaysia juga mengulangi komitmen tidak berbelah bahagi menyokong perjuangan rakyat Palestin dan hak mereka untuk menentukan masa depan sendiri.
Sokongan termasuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara serta keahlian penuh dalam PBB.