fb fb fb fb fb

Kebakaran dan jerebu, Selangor pantau perkembangan harian

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ditemui selepas Majlis Perasmian Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025 di Kompleks PKNS, Shah Alam, Selangor.

SHAH ALAM, 25 Julai- Kerajaan Selangor menerusi Unit Bencana kini memantau perkembangan harian berhubung situasi kebakaran dan jerebu yang berisiko menjejaskan kualiti udara negeri itu.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, beliau telah mengarahkan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin untuk mengetuai pemantauan dan akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa.

"Seperti yang dinyatakan semalam dalam kenyataan YB Jamaliah, kita akan mempergiat rondaan di beberapa kawasan titik panas yang berisiko berlaku kebakaran. Arahan ini turut melibatkan pejabat serta agensi berkaitan untuk memantau secara berterusan.

Langkah ini penting bagi mengelakkan keadaan yang boleh menjejaskan atau memburukkan lagi situasi jerebu di Selangor," kata Datuk Seri Amirudin kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025 di Kompleks PKNS, di sini.

Setakat ini, tiga insiden kebakaran terbuka telah dilaporkan, masing-masing di Kuala Kubu Bharu, Kajang dan Seri Gombak.

Bagaimanapun, kesemua kebakaran berjaya dikawal dengan segera.

Walaupun insiden kebakaran berkenaan berjaya dikawal, tegas Datuk Seri Amirudin, kawasan tanah gambut kekal menjadi fokus utama pemantauan berikutan risiko tinggi mudah terbakar selain sukar dikawal.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM