CYBERJAYA, 25 Julai - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan rundingan awam berhubung Cadangan Kerangka Pengawalseliaan bagi Penyimpanan, Pemeliharaan dan Pendedahan Data Komunikasi untuk Tujuan Siasatan.
Inisiatif ini susulan pindaan terkini terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), yang menyaksikan pengenalan seksyen baharu iaitu 252A, 252B dan 268A, yang telah berkuat kuasa pada Februari 2025.
Peruntukan baharu tersebut memberikan asas perundangan yang membolehkan data komunikasi disimpan dan didedahkan bagi membantu siasatan kes jenayah.
"Langkah ini diambil sejajar dengan peningkatan kes jenayah siber seperti penipuan dalam talian, pemalsuan, buli siber dan gangguan yang semakin kompleks. Akses kepada data komunikasi yang sahih, boleh dipercayai dan tepat pada masanya dilihat sebagai keperluan penting dalam membantu agensi penguatkuasaan menjalankan siasatan secara berkesan serta menjaga keselamatan awam dan negara," menurut kenyataan MCMC, hari ini.
Cadangan Kerangka Pengawalseliaan ini dirangka untuk memperkukuh keupayaan pihak berkuasa dalam siasatan jenayah, memberi panduan jelas kepada penyedia perkhidmatan komunikasi, dan pada masa sama memastikan privasi pengguna terus terpelihara melalui peraturan dan proses yang telus.
Terdahulu, pada 16 hingga 17 Jun 2025, MCMC menganjurkan sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan daripada sektor industri, agensi penguatkuasaan, badan masyarakat sivil dan akademia. Antara yang terlibat termasuk Majlis Peguam Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), dan Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM).
Rundingan awam ini dibuka dari 25 Julai hingga 8 Ogos 2025.
MCMC mengalu-alukan penyertaan dan maklum balas daripada semua pihak termasuk industri, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam bagi memastikan kerangka pengawalseliaan yang dibangunkan adalah seimbang, inklusif dan selaras dengan keperluan penguatkuasaan serta standard perlindungan data global.