fb fb fb fb fb

Penurunan harga minyak RON95 bukan mudah, ambil kira pelbagai faktor - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Peluncuran Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2025 di Dataran Bandar Darul Aman, Jitra, Kedah/ Foto BERNAMA

JITRA, 25 Julai - Kerajaan terpaksa mengambil masa selama beberapa hari sebelum membuat pengumuman penurunan harga minyak RON95 kerana perlu mengambil kira pelbagai faktor terutama implikasi kewangan kepada negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bukan suatu yang mudah serta perlu dilihat dan dinilai secara teliti sebelum dihebahkan kepada rakyat pada Rabu lepas.

Beliau turut menempelak sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan lambat mengumumkan penurunan harga minyak RON95.

Tegasnya, walaupun beberapa negara lain seperti Thailand dan Singapura telah menurunkan harga minyak terlebih dahulu, namun harga minyak di Malaysia lebih rendah berbanding negara tersebut.

"Kita turunkan harga minyak kepada RM1.99... ya memang negara seperti Thailand, Singapura sudah turun terlebih dahulu (berbuat demikian) tetapi kita lebih rendah dan ini adalah untuk rakyat Malaysia.

"Tak syukur, tak setuju tidak apa tetapi bukan mudah... sebab itu ambil masa kira berhari-hari, jadi jangan diremehkan benda ini... mereka kata beza enam sen tapi mereka tidak dengar penerangan," kata beliau ketika berucap merasmikan Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2025 di Dataran Bandar Darul Aman, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Tambah beliau, ada juga pihak yang mempertikaikan kenapa kerajaan tidak memberi subsidi kepada warga asing dan tegasnya, ia tidak perlu kerana mereka tidak membayar cukai kepada kerajaan.

Rabu lalu, Perdana Menteri mengumumkan harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak.

Langkah itu bakal memberi manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk golongan belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN