JITRA, 25 Julai – Thailand dan Kemboja bersetuju untuk mengundurkan pasukan tentera masing-masing dari kawasan sempadan yang tegang susulan insiden pertempuran sejak beberapa hari lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengadakan perbualan telefon bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai bagi meminta agar konflik diselesaikan secara diplomatik.
"Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menyeru kedua-dua negara agar melaksanakan gencatan senjata serta menarik balik tentera dari kawasan sempadan yang bergolak dengan segera, bagi mengelakkan krisis bertambah buruk," katanya.
Menurut Datuk Seri Anwar, kedua-dua pemimpin berkenaan menyatakan persetujuan terhadap cadangan tersebut, namun memohon sedikit masa untuk proses pengunduran tentera kerana sebahagian pasukan telah pun dikerahkan ke kawasan berkenaan.
“Saya kata, 'Please Mister Prime Minister, on behalf of your friend in Malaysia, please stop and immediate ceasefire.’ Mereka setuju, cuma minta masa sikit untuk demobilisasi,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Antidadah 2025 di Dataran Bandar Darul Aman, Jitra.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Anwar meminta semua agensi penguatkuasaan khususnya di sempadan negara meningkatkan lagi usaha membanteras aktiviti penyeludupan terutamanya dadah, arak, manusia dan rokok.
Usaha itu memerlukan kerjasama erat semua agensi untuk menjaga sempadan negara daripada dibolosi.
Beliau berkata, kerajaan sedia menyalurkan dana bagi memastikan musuh nombor satu negara itu dapat dibanteras sepenuhnya.