KANGAR, 25 Julai - Pengumuman cuti tambahan pada 15 September sempena Hari Malaysia disambut baik Kerajaan Negeri Perlis serta anggota penguat kuasa khususnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri itu.
Ia sekali gus membolehkan individu yang berasal dari negeri seperti Sabah dan Sarawak pulang menyambut Hari Malaysia bersama keluarga.
Badan penguat kuasa seperti polis mengakui cuti yang diumumkan memberi peluang kepada mereka bersama keluarga untuk menyambut Hari Malaysia.
Menurut Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah, cuti tersebut amat bermakna bagi anggota pasukan keselamatan kerana memperoleh rehat panjang.
“Di Perlis, kita akan dapat cuti yang panjang iaitu Sabtu, Ahad, Isnin dan Selasa. Cuti ini dapat dihabiskan bersama keluarga. Alhamdulillah, terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia", katanya.
Sementara itu, anggota polis Siti Zuhairah Zaidi menyatakan keterujaan untuk memanfaatkan cuti tersebut bagi membawa keluarga berjalan-jalan, memandangkan kekangan masa sebagai penjawat awam sering membataskan peluang untuk bercuti.
Bagi anggota keselamatan dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat di Perlis, cuti tersebut memberikan ruang yang sangat bermakna untuk pulang ke kampung halaman.
Dalam pada itu, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, menyifatkan langkah kerajaan persekutuan mengisytiharkan cuti itu sebagai tepat dan menyentuh hati rakyat Malaysia di seluruh negara.
“Ini satu langkah yang baik. Kawan-kawan dari Sabah dan Sarawak ada peluang untuk balik sambut Hari Malaysia dengan lebih baik lagi", katanya.