PUTRAJAYA, 25 Julai - Malaysia telah menjalankan peranan selaku Pengerusi ASEAN sebagai orang tengah untuk mencari solusi dalam meredakan konflik Thailand-Kemboja.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, ia menerusi panggilan telefon yang berlangsung di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin kedua-negara yang berkonflik iaitu Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtam Wechayachai pada petang semalam.
"Dalam perbincangan tersebut, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa terdapat isyarat positif dan kesediaan yang telah ditunjukkan oleh kedua-dua Bangkok dan Phnom Penh.
"... dan Perdana Menteri telah meminta supaya Wisma Putra meneliti dan memberikan maklumat terkini hasil perbincangan di antara kedua-dua pihak di antara Thailand dan Cambodia.
"Kita lihat pada waktu ini terdapat kesediaan di antara kedua-dua perdana menteri untuk mengumumkan gencatan senjata, dan kita menunggu... insya-Allah, kenyataan daripada kedua-dua perdana menteri tersebut. Ini antara peranan yang dimainkan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Mingguan Mesyuarat Kabinet di Putrajaya.