fb fb fb fb fb

Semua mangsa insiden pendaratan cemas helikopter Maritim Malaysia selamat

FOTO MARITIM MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 5 Mac- Tiada kehilangan nyawa dalam insiden pendaratan cemas helikopter milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di perairan Pulau Angsa, Klang, Selangor.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan, empat orang termasuk juruterbang helikopter model AW139 bernombor pendaftaran M72-01, berjaya diselamatkan.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam kenyataan, memaklumkan helikopter berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada 9.10 pagi bagi latihan penerbangan.

Hubungan terakhir dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada 9.20 pagi, namun tiada panggilan kecemasan diterima.

Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur di Pusat Kawalan Trafik Udara diaktifkan serta-merta untuk mengenal pasti lokasi helikopter terbabit sejurus laporan berhubung kejadian itu diterima.

Semua mangsa diselamatkan dengan helikopter penyelamat yang kemudian mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 10.58 pagi.

Siasatan akan dijalankan oleh Lembaga Siasatan Maritim Malaysia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE