fb fb fb fb fb

Semua jenis durian boleh dieksport ke China - Mohamad

Datuk Seri Mohamad Sabu

PUCHONG, 20 Jun- Semua jenis durian tempatan boleh dieksport ke negara China namun keutamaan yang diperlukan ialah mempunyai kualiti memuaskan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan, eksport raja buah yang dibawa untuk pasaran di negara tembok besar itu tidak terhad kepada jenis durian tertentu sahaja.

Pada masa sama beliau turut menyeru supaya lebih ramai usahawan bumiputera menceburkan diri dalam tanaman pokok durian kerana pasarannya kini meluas dan menguntungkan.

"Apa-apa jenis pun mengikut penerimaan di sana, tetapi tentulah yang berkualiti seperti black thorn, musang king... D24 dan apa-apa jenis durian yang boleh diterima di sana.

"Kita harap terutamanya petani bumiputera kalau ada modal buat penanaman durian berskala besar sebab nilai eksportnya tinggi dan hari ini New York Times mengeluarkan satu artikel mengatakan penjualan durian boleh cecah billion dolar," katanya kepada pemberita pada Program Ibadah Korban Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tahun 2024/1445H di sini.

Semalam, Malaysia dan China memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar.

Ia akan menggalakkan perkembangan industri tanaman buah durian tempatan dan membuka peluang kepada lebih 63,000 pengusaha durian di seluruh negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI