fb fb fb fb fb

Tiada kos tambahan bawa masuk sukarelawan guru Bahasa Inggeris dari Singapura

Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL, 20 Jun- Cadangan membawa masuk sukarelawan guru bahasa Inggeris dari Singapura oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melibatkan sebarang bebanan kos tambahan.

Malah menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, khidmat guru sukarelawan itu akan dibayar oleh kerajaan Singapura dan tidak melibatkan sebarang kos tambahan seperti telahan sesetengah pihak, sebaliknya adalah bukti kerjasama erat diplomatik antara Malaysia dan Singapura.

"Inisiatif ini memberi peluang kepada murid, guru dan pihak sekolah untuk mendapat pendedahan amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan inovasi yang baik.

"Inisiatif sebegini sememangnya sentiasa dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan melibatkan pertukaran guru dari negara maju seperti Korea, Australia dan Amerika Syarikat.

"Justeru KPM menyambut baik cadangan Perdana Menteri, untuk membawa masuk sukarelawan guru terbabit bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan di kawasan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri menjelaskan cadangan membawa tenaga pengajar Bahasa Inggeris dari Singapura, hanya sebagai sukarelawan bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa itu di kawasan pedalaman.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, cadangan itu disifatkan sebagai skim bantuan daripada segi diplomasi antara kedua-dua negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI