(Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor)
ALOR SETAR, 19 Julai - Kerajaan negeri Kedah memberi jaminan semua agensi di bawahnya akan memberi kerjasama penuh terhadap jawatankuasa yang akan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan bencana ‘kepala air’ atau aliran puing di Kupang, Baling.
Dalam satu kenyataan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerjasama akan diberikan dalam sebarang aspek siasatan yang diperlukan.
Beliau menyambut baik kenyataan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa kementerian itu akan mengetuai jawatankuasa yang akan ditubuhkan.
(Kesan akibat tragedi kepala air yang berlaku di Kupang, Baling, Kedah baru-baru ini/Foto fail)
Harapan beliau agar jawatankuasa tersebut dapat melaksanakan tugasan dan tanggungjawab bagi mencari punca dan penyelesaian terutama dalam usaha mengelakkan tragedi seumpama itu berulang.
Isnin lalu, Takiyuddin memaklumkan menerima arahan daripada Pejabat Perdana Menteri melalui Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mengetuai jawatankuasa tersebut.