fb fb fb fb fb

Kerajaan negeri Pahang, MIG Dairy Fresh jalin kerjasama laksana projek agromakanan

(Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) meninjau ladang ternakan selepas melakukan upacara pecah
tanah Projek Ternakan Lembu Wagyu dan Kerbau Tenusu milik Syarikat Mig Dairy Fresh Sdn Bhd/ Foto BERNAMA)

RAUB, 19 Julai - Kerajaan negeri Pahang mengoptimumkan penggunaan tanah kerajaan sebagai padang ragut bagi menjayakan projek ternakan kerbau tenusu dan lembu wagyu di Raub.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usahawan kecil, sederhana mahupun syarikat besar diberi keutamaan bagi mengusahakan projek ternakan secara komersial sekali gus menjamin sekuriti makanan negara.

Menurutnya, projek tersebut akan dilaksanakan di tanah seluas kira-kira 285 hektar di Bukit Kajang yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat MIG Dairy Fresh Sendirian Berhad.

"Jadi kerajaan negeri telah membuat sejumlah kandang mengusahakan bagi tujuan ternakan lembu wahyu dan kerbau ternusu dan ini usaha yang sangat baik di samping mewujudkan peluang pekerjaan kita juga syarikat yang melabur ini boleh kembangkan teknologi kepada pengusaha-pengusaha kecil di kawasan sekitar ini," kata beliau pada majlis program kerjasama Pembangunan Ternakan Lembu Wagyu Tempatan antara MIG Dairy Fresh dan Jabatan Veterinar Pahang di Pusat Genetik Bukit Kajang, di sini.


(Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyempurnakan upacara pecah tanah Projek Ternakan Lembu Wagyu
dan Kerbau Tenusu milik Syarikat Mig Dairy Fresh Sdn Bhd di Bukit Kajang/ Foto BERNAMA)

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd.Razak dan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr. Salehudin Ishak.

Menurut Wan Rosdy, syarikat MIG Dairy Fresh Sdn Bhd ditawarkan pajakan tanah seluas 704 ekar dengan kos pembangunan sebanyak RM45 juta dan dijangka siap sepenuhnya tahun 2026.

Tambah beliau, lembu wagyu bernilai kira-kira RM35,000 seekor mendapat permintaan tinggi penggemar daging segar di negara ini.

Usaha itu mampu melonjakkan peranan negeri Pahang sebagai pengeluar utama makanan hasil ternakan negara.

Wan Rosdy berharap pembangunan projek di kawasan itu akan memberi manfaat khususnya kepada penduduk sekitar dalam menyediakan peluang-peluang pekerjaan baharu kepada anak muda.

Media Baharu