fb fb fb fb fb

Sempena bulan sifar miskin tegar, Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan sedia potong gaji


PUTRAJAYA, 27 Januari - Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalannya Datuk Seri Jalaluddin Alias, sedia memotong gaji mereka bagi membantu 19 keluarga miskin tegar di Putrajaya

Ini bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Februari diisytiharkan sebagai bulan sifar miskin tegar.

Menurut Shahidan, keluarga berkenaan kini memperoleh pendapatan sekitar RM750 sebulan bawah garis yang ditetapkan RM1,250 sebulan.

Ada masanya pendapatan bulanan mereka berkurangan kerana hanya berniaga kecil-kecilan.

"Kita telah isytihar bahawa Februari ialah bulan sifar miskin tegar. Ketua Setiausaha Kementerian akan bekerja kuat dengan hebat bersama dengan Datuk Bandar dan yayasan untuk membantu mempastikan bahawa miskin tegar yang tidak melepasi RM1,250 itu ditampung.

"Baitulmal juga telah bersetuju untuk menampung semua sekali kosnya tapi sementara mereka meneruskan kerja-kerja tersebut, Datuk Bandar dengan KSU akan membuat kerja tersebut. Sementara itu untuk Putrajaya saya dengan Timbalan saya akan memotong gaji kami untuk memberi kepada 19 orang miskin tegar di Putrajaya dalam tempoh 2 bulan," kata Shahidan di sini.

Selain itu bantuan beg makanan juga akan diberikan kepada setiap keluarga miskin di seluruh Wilayah Persekutuan yang melibatkan kira-kira 16,000 keluarga.

Bagi jangka panjang golongan miskin tegar akan dibantu memulakan perniagaan kecil dengan memberikan modal dan lesen perniagaan.

Media Baharu