fb fb fb fb fb

"Saemaul Undong' perlu dicontohi, membawa perubahan besar di kawasan luar bandar


LANGKAWI, 27 Januari - Konsep 'Saemaul Undong' di Korea Selatan untuk memajukan kampung perlu dicontohi Institusi Ketua Kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, konsep itu yang diperkenalkan oleh bekas Presiden Korea Selatan, Park Chung Hee pada tahun 1970 berjaya membawa perubahan besar di kawasan luar bandar negara itu.

"Saya suka mengambil contoh apa yang dilakukan di Korea Selatan itu yang berjaya melakukan transformasi kawasan luar bandarnya menerusi konsep 'Saemaul Undong',"

"Mereka telah mengubah semua kampung-kampung dari atap jerami gandum kepada atap genting dan juga membaik pulih rumah, melatih ketua-ketua kampung dengan istilah membina satu negara bangsa," kata Mahdzir ketika berucap pada Majlis Penutupan Kursus Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dalam Pengendalian Komuniti serta Pembangunan Daerah Padang Terap.

Jelasnya, Korea Selatan telah membuktikan peranan besar Ketua Kampung dengan berjaya mengubah lanskap dan kehidupan masyarakat luar bandarnya dalam tempoh 10 tahun antara 1970 hingga 1980.

Dalam fasa itu, Korea Selatan berjaya meletakkan asas yang kukuh bagi pembinaan sebuah negara bangsanya menerusi 'Saemaul Undong' yang membawa maksud 'Gerakan Kemajuan Baharu'.

Pada tahun 2013 mereka sekali lagi melakukan transformasi menerusi cogan kata "Kami Mengusai Dunia" dengan pelbagai jenama peralatan elektronik yang dieksport dan digunakan di seluruh dunia seperti telefon bimbit jenama Samsung dan kereta jenama KIA.

"Mereka dari bangsa yang miskin selepas perang, 50 tahun Korea Selatan membangun menjadi sebuah negara hebat," katanya lagi.

Tambah beliau, ketua-ketua kampung JPKK dan JKKK hari ini perlu mempunyai data lengkap berkaitan kampung selain perlu merangka program yang bersesuaian untuk masyarakat dibawah pimpinannya.

Media Baharu