SERDANG, 6 September – Universiti Putra Malaysia (UPM), melalui Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), menganjurkan Seminar Serantau Isu Komuniti Siri Kelima (SSIK) 2024 baru-baru ini, yang membincangkan isu pembangunan komuniti dan keterjaminan makanan melalui pendekatan Society 5.0.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata seminar siri kelima itu menjadi platform untuk merapatkan hubungan kerjasama dalam kajian berkaitan pembangunan komuniti di peringkat nasional dan antarabangsa, terutamanya dalam isu keterjaminan makanan.
“Kita memerlukan pendekatan kolaboratif untuk memperkasakan komuniti dalam isu keterjaminan makanan serta penyelesaian mendalam bagi merealisasikan agenda sekuriti makanan negara,” katanya.
Sementara itu, Pengarah IPSAS, Prof. Dr. Haslinda Abdullah, menekankan kerjasama seminar itu mendapat kerjasama daripada Universitas Teuku Umar (UTU), Universitas Halu Oleo (UHO), Universitas Abulyatama (UNAYA), Indonesia dan Walailak University, Thailand.
"Peserta seminar bertukar pandangan mengenai isu keterjaminan makanan, menjadikan sektor pertanian lebih efisien," tambah beliau.
Majlis penutup SSIK 2024 dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Ts. Mustapha Sakmud. Pada majlis tersebut, turut diadakan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman antara UPM dan Universitas Halu Oleo, Indonesia, sebagai tanda kerjasama akademik antarabangsa.
Datuk Ts. Mustapha Sakmud turut melancarkan empat buah buku hasil penyelidikan akademik termasuk Isu-Isu Semasa Belia Malaysia oleh Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman dan Memoir Rimbunan Cinta Bonda oleh Prof. Madya Dr. Kamariah Kamarudin dari UPM.
SSIK 2024 juga menampilkan beberapa panel forum penting seperti Prof. Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad dari UPM yang membincangkan topik Achieving Food Security via Society: Malaysia’s Experience.
Selain itu, Baharuddin Mohamed, juga dikenali sebagai Coach Baha, berkongsi mengenai Community Garden: A Food Security Idea for the Nation.
Usaha keterjaminan makanan UPM sejajar dengan misi universiti untuk memajukan inovasi, pertanian, dan penyelidikan makanan sebagai sebahagian daripada pembangunan nasional.