KUALA LUMPUR, 25 November - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi dengan pentadbir sekolah yang menyembunyikan kes pelajar terlibat gejala dadah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kes disiplin melibatkan jenayah perlu dilaporkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) terlebih dahulu .
"Kita ada prosedur operasi standard (SOP) laporan yang perlu dilaksanakan. Kemudian proses perbincangan dengan ibu bapa dan juga komuniti termasuk pegawai perhubungan akan membantu dalam kes-kes tersebut.
"Jadi perkara ini tidak boleh disembunyikan. Ia mesti dilaporkan dan kita minta untuk PPD dan JPN juga ambil perhatian dalam isu ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Peluncuran Kit Duta Sahsiah di ibu negara.
Dalam pada itu pihaknya turut mengambil serius semua isu berkaitan dadah dan buli.
"Sebagaimana yang disebut Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Wan Hassan, itu semua dalam rangkuman dan radar kita untuk memastikan ia benar-benar dapat kita kawal khususnya dengan garis panduan yang ada termasuk tindakan disiplin peringkat sekolah,'' katanya lagi.
Terdahulu, Wan Hassan memaklumkan berlaku peningkatan jenayah terutama buli dan gangsterisme sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini.