fb fb fb fb fb

Sembilan lagi lokaliti baharu terlibat dalam projek pelepasan nyamuk BerWolbachia

Acara melepaskan nyamuk Aedes berWolbachia pada Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan Sempena Sambutan Hari Denggi ASEAN 2024 di RKAT Desa Setia Wira hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Jun- Sembilan lagi lokaliti baharu akan terlibat dalam projek pelepasan nyamuk Aedes BerWolbachia bagi membanteras kes demam denggi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan ketika ini terdapat 35 lokaliti pelepasan di seluruh negara, sejak projek itu bermula pada tahun 2019.

Beliau berkata, selepas empat tahun pelaksanaannya, sebanyak 19 lokaliti yang telah layak dinilai berjaya menunjukkan penurunan kes denggi antara 45% sehingga 100%.

"Lokaliti itu kita agihkan dan kita edarkan ke beberapa negeri, disamping Semenanjung. Kita akan menambah (lokaliti pelepasan nyamuk berWolbachia) fokus kita adalah di Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Melaka, Johor termasuk satu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Saya akan memastikan tapak pembinaan juga akan menjadi antara fokus hotspot diberikan tumpuan.

"Ketika ini seekor nyamuk BerWolbachia berharga 0.50 sen. Jadi, begitulah nilai nyamuk ini yang akan mengambil peranan untuk memerangi nyamuk Aedes", katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Hari Denggi ASEAN 2024 di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Setia Wira, Kuala Lumpur.

Beliau memaklumkan pihak KKM turut mempertimbangkan untuk memperluas pelaksanaan projek pelepasan nyamuk tersebut dan membuat permohonan peruntukan bagi tujuan itu menerusi Bajet 2025.

RKAT Desa Setia Wira merupakan salah satu lokaliti terlibat dalam projek pelepasan nyamuk Aedes Berwolbachia. Hasil pemantauan di lokaliti tersebut mendapati, kes denggi menurun sebanyak 87%.

Wolbachia merupakan bakteria yang disuntik kepada nyamuk Aedes, kemudian dilepaskan dalam lokaliti sasaran.

Kaedah tersebut menggantikan populasi nyamuk liar kepada nyamuk Aedes Aegypti BerWolbachia dan merencatkan replikasi virus denggi serta menghalang penularan virus itu kepada manusia.

Sementara itu, sebanyak 64,629 kes demam denggi dilaporkan bermula 1 Januari sehingga 1 Jun lalu, berbanding 48,723 kes bagi tempoh sama tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 15,906 kes atau 32.6%.

ROSLINA BINTI DIN