fb fb fb fb fb

MOT terima set pertama ETS3, perkhidmatan dari KL Sentral - JB

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (tengah) di majlis penyampaian set pertama Tren Elektrik (ETS3) di Zhuzhou, Wilayah Hunan, China

KUALA LUMPUR, 8 Jun - Malaysia menerima set pertama Tren Elektrik (ETS3) bagi perkhidmatan Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, pada Jumaat

ETS3 itu diserahkan China Railway Construction Corporation (CRCC) kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) pada majlis penyampaian di Zhuzhou, Wilayah Hunan, China.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada majlis itu berkata beliau gembira, kerana projek ETS3 berjalan lancar dan berharap agar set seterusnya dapat dihantar dan disiapkan mengikut waktu.

“Apabila siap menjelang tahun depan, kita akan memulakan perkhidmatan ETS dari Kuala Lumpur Sentral sampai ke Johor Bahru dengan siapnya landasan Johor Bahru-Gemas nanti.

“Tunggu perkhidmatan ini sampai dan kami akan memberikan khidmat terbaru kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Tambah Loke, kereta api ETS3 baharu itu, berkapasiti 312 tempat duduk dengan 36 untuk kelas perniagaan dan 276 tempat duduk standard.

Penghantaran untuk semua kereta api itu ditetapkan pada 12 Ogos tahun depan.

ETS3 akan digunakan untuk landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru serta keseluruhan Rangkaian Rel Pantai Barat dari Padang Besar di Utara, ke Johor Bahru di Selatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN