fb fb fb fb fb

TVET perlu jadi pilihan utama - Ahmad Zahid

Foto BERNAMA

KUALA LANGAT, 8 Jun- Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) harus menjadi pilihan utama lepasan sekolah menengah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia perlu lebih proaktif menyediakan lebih banyak tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan sektor pekerjaan pada masa akan datang.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET menegaskan Malaysia perlu mencontohi negara maju lain seperti Jepun yang menjadikan TVET sebagai pilihan utama.

"Saya harap ibu bapa dapat menukar persepsi bahawa TVET seolah-olah tak ada masa hadapan.

"Di Jepun, TVET dikenali sbgai kosan.. ibu bapa di Jepun jadikan TVET pilihan utama.

"Saya mahu persepsi ini juga turut berubah dan diubah dalam kalangan ibu bapa.

"Maka kerajaan menyasarkan agar TVET menjadi pilihan utama tanpa mengetepikan pendidikan melalui dasar pendidikan negara, tetapi kita mesti melihat keupayaaan negara kita untuk mewujudkan pekerja-pekerja mahir," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari TVET Negara (HTN) 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat di sini.

Tambahnya, usaha tersebut mempersiapkan negara dengan sumber tenaga kerja yang berketerampilan seiring perubahan teknologi serta keperluan pihak industri sama ada domestik mahupun luar negara.

Dalam pada itu, Karnival Kerjaya dikendali Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan menjadi platform terbaik untuk mencari tenaga mahir tempatan.

Peluang pekerjaan ditawarkan lebih 20 syarikat itu bersempena HTN 2024 yang berlangsung selama dua hari di ILP Kuala Langat.

Ahmad Zahid berkata, peluang itu perlu direbut orang ramai terutama pelajar lepasan TVET dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dengan pelaksanaan pelbagai program menarik, maklumat mengenai peluang dan potensi yang ada dalam bidang TVET juga dapat disebarluaskan.

"Siapa kata TVET tiada masa depan..inilah yang diperlukan PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) agar daripada TVET, mereka boleh jadi jurutera yang kekurangan 30,000 pada tahun ini.

"Insya-Allah dalam tempoh terdekat kita boleh penuhi melalui sistem pendidikan TVET ini," kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid juga berpuas hati dengan sambutan baik yang diterima selama dua hari pelaksanaan HTN 2024.

TVET kini semakin berkembang dan berjaya melahirkan tenaga mahir tempatan yang cemerlang.

"Ini adalah satu inisiatif yang baiklah untuk orang sini atau orang-orang luar. Mereka boleh datang sini dan teroka mana-mana kerjaya yang mereka nak.. jadi daripada sini mereka dapat peluang itu, mereka boleh mengembangkan lagi potensi mereka dan boleh dapat pekerjaanlah daripada Karnival Kerjaya ini," kata Pelajar CIAST, Meor Muhammad Naiman Meor Mohd Jamil.

"Karnival Kerjaya ini satu insiaitif sangat bagus, sebab kebanyakan orang ada bakat tapi tak mempunyai platform untuk kembangkan bakat mereka.. jadi program Karnival Kerjaya ini buka peluang yang sangat-sangat banyak, mereka boleh berhubung terus dengan mana-mana industri yang mereka berminat," kata Pelajar CIAST, Amir Fauzan Muhammad Firdaus.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM