fb fb fb fb fb

Semarak Uniti Keluarga Malaysia, satu padu rakyat dengan pelbagai elemen

KUALA LUMPUR, 1 November - Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia yang tercetus daripada pelan tindakan Dasar Perpaduan Negara mengambil semangat daripada program Aspirasi Keluarga Malaysia.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa, Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud berkata ia sebagai mengangkat nilai KAMI iaitu K- Karib, A-Akses, M-Majmuk dan I-Inklusiviti.

Malah, Semarak Uniti Keluarga Malaysia berorientasikan usaha menyatupadukan rakyat menerusi pelbagai elemen perpaduan termasuk sukan, kesenian, kebudayaan dan masakan.

"Jadi kita satukan elemen-elemen itu dalam satu tempat. Kita jadikan sebagai satu tempat, kita kumpulkan detik perpaduan ini di satu tempat untuk menyemarakkan perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia ini.

"Jadi, kita dah laksanakan di 7 lokasi, di Johor, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, di KL dan terdekat ini di Putrajaya, akan kita adakan Semarak Uniti Keluarga Malaysia. Jadi, kita minta khususnya warga kota, warga Putrajaya datanglah beramai-ramai untuk menyaksikan, kita lebih mengenali kepelbagaian budaya di negara kita ini.

Maknanya kita kata 'tak kenal maka tak cinta'. Apabila kita kenal dengan lebih rapat, kita akan lebih menyayangi ahli Keluarga Malaysia ini yang pelbagai kaum ini," katanya di sini.

Semarak Uniti Keluarga Malaysia dijadual berlangsung di Floria Putrajaya pada 12 November ini bermula pukul 7 pagi hingga 2 petang.

(Mohamad Sobri ditemubual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri)

Dalam pada itu, memahami kepelbagaian serta perbezaan dalam kalangan masyarakat majmuk dapat memperkukuh semangat kebersamaan dan permuafakatan Keluarga Malaysia.

Mohamad Sobri menjelaskan, pemahaman itu secara tidak langsung mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan negara secara keseluruhannya.

Pada masa sama, membina serta memupuk semangat patriotik dan cintakan negara menerusi program yang menyuntik nilai integrasi antara pelbagai kaum.

"Jadi kita susun program yang bersesuaian, bagaimana untuk tingkatkan rasa sayang kepada negara. Kemudian kita mantapkan ekosistem perpaduan dalam negara kita untuk pelbagaikan tapak integrasi.

"Program yang kita laksanakan seperti sukan, kebudayaan, keseniaan, program Semarak Uniti Keluarga Malaysia ini merupakan tapak integrasi di mana tapak inilah yang boleh menyatukan kita, pelbagai kaum ini sebagai Keluarga Malaysia untuk lebih kukuhkan perpaduan antara kita. Keluarga Malaysia.

Jadi, kita mahu banyakkan tapak-tapak integrasi melalui penganjuran program sebab perpaduan adalah melalui program, supaya kita semarakkan lagi nilai-nilai perpaduan seluruh masyarakat. Apabila kita semarakkan lagi nilai perpaduan, seluruh masyarakat akan dapat merasa, akan dapat melihat dapat dilihat, dirasa dan didengar di serata tempat," kata Mohamad Sobri.

Media Baharu