fb fb fb fb fb

Patuhi peraturan hari penamaan calon PRU15, PRK DUN Bugaya

(Kertas penamaan calon boleh diserahkan dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi)

PUTRAJAYA, 1 November- Semua calon dan parti politik diingatkan agar mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diaraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabtu ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan media berkata hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon (PPC).

Kertas penamaan calon boleh diserahkan dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi.

Bakal calon yang mewakili parti politik hendaklah mengemukakan surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili semasa menyerahkan kertas penamaan alon.

Penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara adalah tidak dibenarkan pada hari penamaan calon dan merupakan satu kesalahan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ini termasuk hebahan menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan.

Orang awam dan penyokong-penyokong yang mengiringi calon dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.

"Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU ke-15 dan PRK DUN N.66 Bugaya, Sabah agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurusatau Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara, sebelum hari penamaan calon.

"Bakal-bakal calon juga disaran membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran. Ini bertujuan memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar," kata Indera Ikmalrudin.

(Patuhi peraturan hari penamaan calon PRU15, PRK DUN Bugaya)

Media Baharu