fb fb fb fb fb

PPj melakukan 240 tundaan serta 27,590 notis kompaun

PUTRAJAYA , 1 November - Sehingga Oktober, Penguat kuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) telah melaksanakan 240 tundaan dan 1,370 apitan serta sejumlah 27,590 notis kompaun pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dan bilangan kompaun ini dijangka akan meningkat sehingga akhir tahun ini.

Selain itu, penguat kuasa PPj turut melaksanakan 12 Operasi Bersepadu antaranya ialah Ops Rempit, Ops Halangan Siar Kaki Premis, Ops Halangan Lalulintas dan Ops Sisiran Tasik.

Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata tindakan dikenakan terhadap pelaku kesalahan bukanlah bertujuan menghukum, malah bagi memastikan kesejahteraan seluruh penduduk Putrajaya.

Sekali gus mewujudkan persekitaran harmoni dan lestari sekitar lokasi di bawah seliaan Perbadanan Putrajaya.

(Fadlun bercakap kepada pemberita selepas
majlis Sambutan Hari Penguat Kuasa Perbadanan Putrajaya, di sini)

"Bagi meningkatkan prestasi bayaran kompaun, Bahagian Penguat kuasa dengan kerjasama Jabatan Undang-Undang dan Bahagian Kewangan turut menggandakan usaha mempercepatkan tempoh kes pendakwaan di mahkamah dan meneruskan kempen bayaran kompaun pada waktu bersesuaian," kata Fadlun di sini.

Sambutan Hari Penguat Kuasa Perbadanan Putrajaya tahun ini menyaksikan 7 anggota penguat kuasa PPj dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Setia dan Pingat Perkhidmatan Penguat Kuasa sebagai tanda penghargaan pihak Perbadanan Putrajaya kepada anggota yang telah berkhidmat melebihi 10 dan 20 tahun.

Manakala, seorang pegawai Penguat Kuasa dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Terpuji yang dikhaskan kepada beliau yang bakal bersara pada 31 Mac 2023.

Media Baharu