fb fb fb fb fb

Semarak KL sebagai pusat seni, budaya serantau

Foto DBKL

KUALA LUMPUR, 12 Jun - Usaha memperkukuh ekosistem seni dan budaya terus dipergiat bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat seni dan budaya di peringkat serantau.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, ia bertepatan dengan kepengerusian ASEAN tahun ini, selain menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ke arah itu, satu Memorandum Persefahaman (MOU) dimeterai antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan Istana Budaya dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO).

"Kerjasama ini mencerminkan komitmen mendalam untuk menyemarakkan jiwa bandar melalui seni, budaya dan pengalaman bersama.

Ia selari inisiatif Warisan Kuala Lumpur serta usaha bersepadu untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai ibu kota budaya dan kreatif yang berkembang maju," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MOU dengan Istana Budaya dan MPO di ibu negara.

"Menerusi memorandum ini, kita memulakan satu kerjasama yang dinamik yang bukan sahaja akan menyokong inisiatif utama seperti Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL) tetapi juga menyokong kalendar acara sepanjang tahun dengan memperkayakan pengalaman untuk warga tempatan dan pelawat dari serata tempat," katanya.

MOU itu merupakan sebahagian usaha berterusan DBKL untuk memperkasa sektor seni dan budaya, serta mempelbagaikan pengalaman melancong di ibu negara.

FOKL yang turut melibatkan penyertaan pasukan orkestra sekolah dijadual berlangsung pada 17 dan 24 Jun di Auditorium DBKL dengan kerjasama Tokyo Symphony Orchestra.

NORAINI BINTI WAHIB