BATU PAHAT, 31 Ogos - Rakyat Johor diseru untuk terus mengekalkan keamanan dan perpaduan yang berpandukan semangat keberanian, kebijaksanaan dan kemuafakatan, di samping menghargai pengorbanan pejuang terdahulu yang berjuang mencapai kemerdekaan.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, tiga asas utama itu perlu menjadi paksi dalam menyokong keharmonian dalam kalangan msayarakat.
"Jadi dalam kita nak mengisi perjuangan ditinggalkan nenek moyang kita, saya nak sarankan kepada bangsa Johor sama-sama kita teruskan apa yang dilaksanakan oleh pejuang-pejuang sebelum kita.
"Terus berani bijaksana dan insya-Allah kita kena terus rapatkan saf bermuafakat. Insya-Allah kita boleh," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama semasa Majlis Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan ke-68 di Stadium Batu Pahat, di sini.
Sambutan bermula pukul 8.00 pagi itu turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi serta lebih 10,000 masyarakat terdiri daripada pelbagai bangsa.
Kira-kira 165 kontinjen terlibat melaksanakan lintas hormat terdiri daripada 127 kontinjen perbarisan, 33 kontinjen perarakan kenderaan dan lima pasukan pancaragam.
Majlis Daerah Batu Pahat muncul sebagai johan keseluruhan perbarisan dan perarakan pada acara itu.