PUTRAJAYA, 31 Ogos - Keselamatan perairan negara berada dalam keadaan terkawal dan aman dengan kadar insiden pencerobohan serta jenayah maritim yang terus menunjukkan penurunan, hasil kerjasama rapat antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan agensi keselamatan lain.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Rosli Abdullah berkata, situasi keselamatan ini bukan sahaja menjamin kedaulatan negara tetapi turut memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia–China serta memberi nilai tambah dalam aspek keselamatan dan kerjasama strategik serantau.
"Kita mempunyai hubungan yang sangat kukuh antara China dan Malaysia, khususnya dari segi hubungan diplomatik. Dalam program sambutan Hari Merdeka semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan bahawa beliau akan mengadakan lawatan ke China hari ini.
"Ini jelas membuktikan Malaysia dan China berkongsi hubungan diplomatik yang erat dalam pelbagai aspek. Justeru, saya percaya adalah penting untuk kita mengekalkan keadaan semasa kerana suasana global dan politik di rantau ini sangat kondusif dan berada dalam keadaan baik ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Dataran Putrajaya, di sini.
Pada edisi itu, Maritim Malaysia menampilkan penyertaan 327 pegawai dan anggota daripada pelbagai cabang pasukan.
Selain menyertai perbarisan, agensi itu turut memperagakan kekuatan aset pertahanan negara menerusi 50 aset laut dan sebuah pesawat udara yang terlibat dalam pertunjukan udara flypast.