PUTRAJAYA, 31 Ogos – Ribuan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat mula membanjiri Dataran Putrajaya seawal pukul 4.30 pagi bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Sambutan penuh warna-warni itu bukan sahaja menarik kehadiran rakyat tempatan, malah turut mencuri perhatian pelancong asing yang teruja menyelami budaya dan semangat patriotik rakyat Malaysia.
Bagi Mohd Haznil Afizi Mohd Ridzuan, kehadiran bersama keluarga sudah dirancang lebih awal.
“Kami plan seminggu awal, datang dua hari lepas. Yang paling ditunggu-tunggu ialah abang kami yang berada di 10 Briged Para,” katanya.
Sementara itu, Che Wan Saiful Bahari berkata anak-anaknya paling teruja untuk melihat perarakan pasukan keselamatan.
Che Wan Saiful Bahari bersama keluarga
“Anak saya memang nak tengok aset perarakan tentera dan polis. Itu yang buat mereka seronok,” ujarnya.
Semangat patriotik turut dirasai oleh warga Malaysia berketurunan Cina, Yong Yue Xing.
Yong Yue Xing (kanan)
“Saya bangga menjadi rakyat Malaysia. Tiba-tiba saya rasa mahu turut serta dalam sambutan hari ini di Putrajaya – begitulah cara saya meraikan Merdeka,” katanya.
Pengunjung lain, Sudharshana Rajan bersama rakan-rakannya Lokcanaa T. Selvananthan dan Triisshala Shager, sanggup menaiki bas dari Melaka.
“Kami bertolak pukul 5.30 pagi dan sampai sekitar pukul 7. Yang kami nantikan ialah perarakan, terutama anak-anak yang mahu lihat abang bomba,” katanya.
Bagi Muhammad Aidil Idham Sharom, ini merupakan kali kelima beliau menyertai sambutan kemerdekaan bersama keluarga.
“Sudah enam tahun berturut-turut kami hadir. Rasanya macam perayaan selepas Hari Raya dan Hari Raya Korban. Setiap tahun ada tema, tahun ini pun kami pakai baju mengikut tema,” katanya.
Pelancong asing juga tidak ketinggalan. Ab De Wildt dari Belanda teruja menyaksikan perayaan yang menurutnya berbeza dengan negaranya.
Ab De Wildt (kanan)
“Sambutan kebangsaan di sini adalah untuk negara. Di Belanda, ia lebih tertumpu kepada Raja. Itu satu perbezaan besar, dan amat baik melihat rakyat Malaysia meraikan bersama,” katanya.
Bagi Saulius Radziunas dari Lithuania, Malaysia dilihat sebagai negara yang unik dan mesra budaya.
“Saya rasa ini negara terbaik untuk saya menetap kerana kepelbagaian budaya. Semua orang menerima budaya dan bahasa dengan baik. Sangat indah, memberi rasa yang baik serta reaksi yang positif – sememangnya begitu,” katanya.