(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menunjukkan aplikasi harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur
ke Tawau, Sabah kepada pengamal media pada sidang media di kementeriannya hari ini/ Foto
BERNAMA)
PUTRAJAYA, 17 April - Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong diminta tidak mengelirukan orang ramai berhubung harga tiket kapal terbang yang dikatakan terlalu mahal.
Sebaliknya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menasihatkan beliau agar mendidik rakyat mendapatkan tiket termurah dengan membandingkan pelbagai aplikasi dan bukan hanya melihat kepada satu aplikasi semata-mata.
"Memang ramai orang tak faham bagaimana tiket penerbangan ini ditentukan oleh syarikat-syarikat penerbangan, tetapi saya yakin YB Wee pernah diberikan taklimat, tahu apakah mekanisme pendekatan sistem yang diguna pakai oleh syarikat-syarikat penerbangan untuk tentukan harga tersebut, jadi sudah tentu apabila kita 'check' dengan aplikasi berlainan, 'check' lah dengan aplikasi syarikat penerbangan itu," kata beliau pada sidang media berkenaan harga tiket penerbangan sempena Aidilfitri 2023, di sini hari ini.
(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menunjukkan aplikasi harga tiket penerbangan dari
Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah pada sidang media di kementeriannya hari ini/ Foto
BERNAMA)
Tambah Loke, bagi memenuhi permintaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, khususnya penerbangan Kuala Lumpur ke Tawau, Malaysia Airlines (MAS) telah menjual sebanyak 78 peratus kerusi untuk musim perayaan ini pada harga antara RM209 ringgit hingga RM841 ringgit bagi kelas ekonomi.
Manakala Air Asia turut menawarkan harga tambang tetap berharga RM199 ringgit ke Sarawak dan RM249 ringgit ke Sabah.