(Anwar Ibrahim)
KUALA LUMPUR, 17 April- Pasukan Petugas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berperanan menyelesaikan beberapa isu membabitkan skandal itu kini memberi penumpuan kepada perjanjian dengan Goldman Sachs.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pasukan khas diketuai Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani itu berpendapat perjanjian berkenaan harus dirungkai semula.
"Saya bersetuju (dirungkai semula), kerana dari awal saya anggap perjanjian ini dibuat secara gopoh gapah, maka ia timbulkan banyak persoalan, kerana kita harus diberi banyak.
"Umpamanya dengan International Petroleum Investment Company (IPIC), dengan mereka dahulu nak selesai dengan jumlah yang kecil, bila kita bertegas, kita dapat AS$1.8 bilion, itu besar.
"Sebab itu saya kata, orang kadang pandang remeh soal ketelusan dan ketegasan tapi ini soal menyelamatkan wang rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karya Agung Sayr Al-Salikin (4 Jilid) dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka di sini hari ini.
(Anwar Ibrahim melancarkan Karya Agung Sayr Al-Salikin (4 Jilid) dan
Hikayat Iskandar Zulkarnain di Wisma Dewan Bahasa
dan Pustaka, Kuala Lumpur)